Archives

Sambungan: Bercuti Di Melaka Bersama Tok & Tokwan

Lena sungguh Adra

Lena sungguh Adra

Cukup sekadar sosej buat pengalas perut

Cukup sekadar sosej buat pengalas perut

Bangun tidur sahaja, tanpa mandi terus Daddy mengajak Adra ke lobi untuk pekena sarapan. Adra punya lena tidur, memang nyenyak sungguh. Satu mimpi kena tindih pun tak masuk. Walaupun telah basuh muka, nyata muka yang mengantuk itu jelas kelihatan. Walau pun yang lain kelihatan semangat untuk bersarapan, Adra pula hanya bersarapan ala kadar sahaja, waima opsyen menu yang dihidangkan di Hotel Avillion Legacy Melaka ini boleh juga banyaknya. Cukup sekadar sosej buat pengalas perut yang kosong di pagi hari. Yang penting, misi sesudah bersarapan ini, mesti sekali lagi ke Kolam Renang..hihihi!

Pun tak berapa nak ada orang juga

Pun tak berapa nak ada orang juga

Naik semula ke bilik, sekali lagi sepantas kilat Adra menyalin pakaian dan menuju semula ke Tingkat 6 untuk ke Kolam Renang. Dapat bermain air lebih kurang setengah jam pun dah memadai kerana Adra dah mula berasa sejuk dek kerana angin yang bertiup sepoi-sepoh bahasa. Terus mengajak Daddy untuk naik semula ke bilik dengan segera. Masuk ke bilik, sesudah bersihkan diri Adra pun dah mula berasa mengantuk yang bukan kepalang. Pekena susu sebotol, sedar-sedar sahaja dah berada di alam mimpi.

Sebelum pulang posing dahulu

Sebelum pulang posing dahulu

Kemudiannya, lebih kurang jam 12.00 tengahari, kitaorang dah mula Daftar Keluar untuk menuju ke Hospital Melaka bagi menziarahi Moyang (Emak kepada Nenek) yang khabarnya telah mengalami patah tulang peha beberapa hari sebelumnya. Cuma membiarkan Daddy & Mama sahaja yang menziarah kerana Adra dah mula rasa nak demam dek kerana main air..hihihi! Jadinya Adra dan Afia hanya menunggu dan tidur di dalam kereta sahaja sambil ditemani Tok & Tokwan. Moga-moga Moyang Adra lekas sembuh.

Kawasan Pantai Klebang yang kini telah di tambak hingga ke tengah laut asalnya

Kawasan Pantai Klebang yang kini telah di tambak hingga ke tengah laut asalnya

Tak berapa nak ada selera..rasa macam nak tidur sahaja

Tak berapa nak ada selera..rasa macam nak tidur sahaja

Masanya untuk sambung lena dalam kereta

Masanya untuk sambung lena dalam kereta

Usai urusan menziarahi, maka sudah tentulah urusan pemakanan tengahari berlangsung memandangkan sudah melewati waktu tersebut. Lokasi yang ditujui adalah kawasan Medan Selera yang terletak di berhampiran dengan Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang untuk pekena Asam Pedas. Adra dalam keadaan kurang sihat ini tidak mengambil pusing sangat sebetulnya. Makan nasi putih sama sup kosong pun dah memadai. Yang penting, harus segera masuk ke dalam kereta untuk menyambung semula aktiviti tidur. Lebih kurang jam 3.00 petang barulah kitaorang bergerak meninggalkan Melaka menuju semula ke Kuala Lumpur bagi menamatkan percutian bajet 2 hari 1 malam ini. Walaupun penat, namun semua orang gembira dapat menghabiskan masa bersama. 🙂

 

Advertisements

Sambungan : Percutian Ringkas di Swiss-Garden Hotel & Residences Melaka

Lena sungguh si comel ini

Lena sungguh si comel ini

Bangun pagi sahaja, celik mata dah ada bungkusan Nasi Lemak yang Daddy beli seawal Subuh rasannya. Maklumlah, pakej hotel yang Daddy tempah ini tidak merangkumi dengan set sarapan. Pasal itulah murah..hihi. Basuh muka ala kadar, terus sahaja Adra bersarapan dengan sesegera mungkin kerana kewajipan untuk mandi kolam harus ditunaikan lagi. Usai bersarapan, terus sahaja Daddy membawa Adra ke kolam. Kali ini, Mama dan Afia hanya berehat dalam bilik sahaja. Sebelum turun ke kolam, sempat pula Daddy mengajak bergambar bersama. Alahai, Adra tak sabar sangat dah ni nak main air.

Ketara sangat muka tak mandi pagi..hihi

Ketara sangat muka tak mandi pagi..hihi

Sekali lagi tangga menjadi pilihan Daddy untuk turun ke bawah mengenangkan lif yang tersangatlah perlahan perkhidmatanya itu. Sampai sahaja di kolam, kesejukan mula terasa. Angin yang bertiup, menambahkan rasa dingin. Tapi hasrat di hati untuk bermain kolam tidak pernah padam. Maka, bersambunglah kembali keriangan di hati. Sempat jugalah 4 kali pusingan Adra bermain gelongsor air itu. Tak sampai 45 minit, Adra mula menyerah. Kegigilan mula menyerang tubuh Adra. Tak mampu nak bendung lagi dah rasanya. Terus sahaja minta Daddy untuk segera naik ke atas. Sejuk!

Naik ke atas, mandi dan salin baju, terus Adra baring di katil. Rasa macam nak demam pun ada. Sambil baring, sempat jugalah Adra melayan Wifi yang boleh tahan laju juga. Afia ada juga nak ajak bersembang, tapi Adra rasa macam nak tidur sahaja sebetulnya. Pada waktu yang sama juga, kawan Mama Auntie Mimi ada datang ke bilik kitaorang, kebetulan bercuti pada waktu yang sama juga. Membiarkan diaorang bersembang, Adra hanya melayan Wifi sahaja sambil ditemani Afia yang baring di sebelah.

Lebih kurang jam 11.30 pagi, kitaorang sudah pun mula meninggalkan hotel untuk daftar keluar. Bimbang lif penuh. Mujur kali ini, dapat juga turun ke bawah dengan menggunakan lif yang bersaiz reban ayam itu. Dan kitaorang pun terus pulang ke rumah nenek untuk menyambung rutin saban bulan. Menziarahi nenek. Tamatlah sudah kisah percutian ringkas penutup tahun 2015 ini. Terima kasih Daddy & Mama!

Sedap juga melayan Nasi Lemak atas kayangan ni

Sedap juga melayan Nasi Lemak atas kayangan ni

Daddy mengajak selfie pula

Daddy mengajak selfie pula

Tak sabar dah ni

Tak sabar dah ni

Seronok sangat

Seronok sangat

Masanya untuk mandi

Masanya untuk mandi

Gigil dah waktu ni..sejuk

Gigil dah waktu ni..sejuk

Afia pun macam mengantuk aja

Afia pun macam mengantuk aja

Sayang Afia!

Sayang Afia!

Percutian Ringkas di Swiss-Garden Hotel & Residences Melaka

m1

Kereta mula bersusun menuju ke parkir

Pada cuti bersempena Maulud Nabi & Hari Natal tempohari, buat sekian kalinya Adra berpeluang untuk pergi bercuti tidur di hotel. Rasanya kali terakhir Adra pergi bercuti pada awal tahun yang lalu, trip ke utara. Lama juga tak pekena aircond sama tilam empuk hotel tak boleh jadi juga, iya tak? Walaupun percutian ringkas ini hanya berlokasikan di Melaka (bersempena dengan pulang ke kampung sekali), namun ianya tetap menggembirakan Adra. Menjadikan percutian kali ini lebih bermakna apabila kehadiran Afia turut bersama menjadikan ianya lebih meriah dan seronok.

Sebetulnya Daddy telah menempah secara atas talian di Swiss-Garden Hotel & Residences Melaka. Adra cuma dimaklumkan tentang percutian ringkas ini sehari sebelum. Memang teruja betullah Adra rasa. Iyalah, sepanjang cuti sekolah ini Adra memang tidak ke mana-mana. Bosan juga sebetulnya kalau hanya duduk bermain di rumah, iya tak?

Cuma apa yang tidak berapa menarik tentang lokasi yang dipilih ini adalah faktor kelewatan daftar masuk yang sungguh lama. Bayangkan, Daddy telah mula beratur untuk daftar masuk seawal jam 3 petang, dan jam 4.30 barulah selesai urusan Daddy di kaunter. Adra, Mama & Afia pula hanya menunggu di dalam kereta di parkir Tingkat 6. Bosan jangan cakaplah. Adra pun tidak pasti mengapa servis Swiss-Garden Melaka ini begitu perlahan. Adakah terdapat pelanggan yang begitu cerewet bertanyakan itu ini sewaktu proses daftar masuk berlangsung? Adra pun tidak pasti.

Lega dapat berehat di bilik

Lega dapat berehat di bilik

Lebih kurang jam 5.15 barulah kitaorang berpeluang untuk masuk berehat ke dalam bilik di Tingkat 14. Nak menunggu lif pun satu hal juga di Swiss-Garden Melaka ini. Asyiklah penuh sahaja. Lif bersaiz reban ayam ini sememangnya tidak mampu menampung jumlah orang yang begitu ramai sambil mengusung beg dan tidak lupa juga stroller. Sampai sahaja di bilik, kitaorang pun berehat sebentar sahaja sambil mengambil gambar barang sekeping dua kerana Adra sudah tidak sabar untuk turun ke kawasan Kolam yang terletak di Tingkat 9. Nah, sekarang ini barulah Adra faham mengapa hotel ini menjadi pilihan orang ramai. Disebalik harga bilik yang ditawarkan mampu milik pada fasiliti bertaraf 5 bintang, hotel ini sebenarnya mempunyai kelebihan pada ruangan bilik yang agak luas dan mempunyai set sofabed untuk setiap bilik hotel & residence menjadikan kelebihan yang besar buat para tetamu yang berkeluarga menginap di sini.

Nak turun ke Tingkat 9 sekali lagi dugaan lif yang penuh menguji iman. Terus sahaja Daddy mencadangkan kitaorang turun menggunakan tangga. Adra ok sahaja, yang penting harus segera tiba di lokasi. Mendengar deruan air sambil diikuti jerik pekik kanak-kanak dari dalam laluan tangga, lagilah membuatkan adrenalin Adra bertambah laju. Tiba sahaja di Tingkat 9, perasaan gembira yang bukan kepalang Adra rasa. Habis ayat nak ungkap dia punya ceria. Terus sahaja mengajak Daddy menemani Adra, membiarkan Mama bersama Afia lepak di kerusi yang disediakan untuk para tetamu.

Sejuk sebenarnya ni

Sejuk sebenarnya ni

Lebih kurang 6.30 petang Daddy dah mengajak kitaorang semula untuk naik ke atas. Adra pun dah mula kesejukan dek angin petang yang bertiup boleh tahan menderu juga sebenarnya. Adra pun dah mula keletihan. Afia lagilah, dah mula nak lena. Selepas Maghrib, Daddy segera keluar untuk mencari makan malam. Malam itu, menu kitaorang hanya makanan bergoreng sahaja yang Daddy beli dari Restoran Mamak yang berhampiran. Selepas makan, pekena susu, terus sahaja Adra lelap membawa hingga ke pagi tak sedar apa. Nyenyak jugalah Adra tidur.

Sofabed sebagai pilihan tambahan tanpa perlu menempah katil tambahan

Sofabed sebagai pilihan tambahan tanpa perlu menempah katil tambahan

Bergambar berlatarbelakangkan Selat Melaka

Bergambar berlatarbelakangkan Selat Melaka

Sungai Melaka nun di bawah sana

Sungai Melaka nun di bawah sana

Jom turun tangga

Jom turun tangga

Seronok!

Seronok!

Afia ni mengantuk pula waktu bergambar..hihi

Afia ni mengantuk pula waktu bergambar..hihi

 

Trip Ke Utara – Hari Ketiga

Sebelum pulang bergambar bersama Tok & Tokwan

Sebelum pulang bergambar bersama Tok & Tokwan

Hari ketiga ini merupakan hari terakhir untuk trip ke utara edisi kali ini. Memandangkan pakej yang diambil tidak didatangkan sekali dengan sarapan, maka pilihan yang ada adalah bersarapan di luar bersekali dengan Daftar Keluar. Lebih kurang jam 9.00 pagi, barulah urusan Daftar Keluar selesai. Sengaja membiarkan sedikit lewat bagi memberi peluang kepada warga Penang untuk ke tempat kerja terlebih dahulu. Lokasi tempat bersarapan yang ditujui adalah sebuah restoran yang terdapat di kawasan Persiaran Gurney. Memandangkan berada di Penang, maka mood untuk pekena Nasi Kandar tersangatlah tinggi. Jadi, itulah menu Adra pada pagi tersebut. Yang lain-lain cuma pekena Roti Canai sahaja. Mujur juga campuran kari / kuah yang dihidangkan menepati selera tekak  Adra. Habislah sepinggan nasi Adra makan pagi itu.

Penang style

Penang style

Sebaik sahaja bersarapan, sepatutnya kitaorang bergerak menuju ke Bukit Bendera tapi di saat akhir terpaksa dibatalkan bilamana Tok menyatakan tak larat nak berjalan. Adra ok sahaja kerana dah pernah sampai ke sana beberapa tahun sudah. Jadinya, sesudah bersarapan, rancangannya adalah singgah sebentar di Pasar Chowrasta untuk membeli jeruk dan terus sahaja bergerak pulang menuju ke Kuala Lumpur dan sampai ke rumah sekitar jam 3.30 petang.

Laluan pulang menggunakan jambatan kedua

Laluan pulang menggunakan jambatan kedua

Trip Ke Utara – Hari Kedua

Bersarapan sambil ditemani Frozen

Bersarapan sambil ditemani Frozen

Bangun pagi hari kedua ini seperti biasa jadualnya. Sekitar jam 7.30 pagi Adra dah mencelikkan mata. Rupanya Daddy dah pun bersiap mandi bagai. Terus sahaja Adra mandi untuk bersiap kerana ikut jadualnya kitaorang akan terus Daftar Keluar dan bersarapan sebelum menuju ke Penang pula. Gerai berhampiran menjadi pilihan kitaorang untuk bersarapan memadangkan pakej bersarapan tidak bersekali hadir dengan bayaran penginapan Teratai Putih Restaurant & Resort. Pasal tu Adra rasa bayaran yang dikenakan  tidak begitu berbaloi untuk sebenarnya untuk diinap. Hanya bersandarkan faktor lokasi berhampiran Padang Besar, maka tempat ini masih ada juga yang memilih untuk bermalam.

Sebaik sahaja selesai bersarapan, Daddy terus memandu menuju ke Penang pula. Adra dengar nama Penang pun dah cukup teruja. Pasti Daddy akan memilih tempat bermalam di 1926 Heritage Hotel. Adra pernah bermalam di situ beberapa tahun sudah. Lebih kurang jam 11.30 pagi, kitaorang pun dah mula menghampiri kawasan Butterworth untuk menaiki Feri ke  Penang. Entah laju ke tidak Daddy pandu pun Adra tak berapa nak perasan sangat. Laju la kot, sebabnya tak sampai 3 jam dari Padang Besar dah boleh sampai ke Penang..hihi.

Membelah lautan dengan tenang..eceh

Membelah lautan dengan tenang..eceh

Beratur nak menaiki Feri ini pun boleh tahan lama juga nak kena beratur. Maklumlah, musim cuti begini maka ramailah pengunjung mengambil peluang untuk menaiki. Walaupun bukan kali pertama menaikinya, Adra agak gementar juga sebenarnya. Entah-entah Tok pun sama juga gementar seperti Adra. Tapi gementar Adra tidak bertahan lama, ok bila Tokwan mengajak untuk keluar dan mengambil angin. Tenang aja melihatkan Feri membelah lautan untuk menyeberangi ke Penang.

Jenuh juga nak mencari parkir ke Restoran Kapitan ni

Jenuh juga nak mencari parkir ke Restoran Kapitan ni

Sejam kemudian, barulah kitaorang berjaya sampai ke Penang, dan destinasi yang tujui sudah tentulah tempat makan. Daddy membawa kitaorang ke Restoran Kapitan untuk menikmati makan tengahari. Langsung sahaja selesai pemakanan, terus sahaja kitaorang menuju ke hotel untuk Daftar Masuk. Mujur juga bilik telah tersedia walaupun agak awal juga sampai ke kaunter. Harus diakui, perjalanan sebegini agak meletihkan badan juga. Maka, waktu yang ada dipergunakan untuk tidur dan berehat sementara menantikan waktu petang untuk keluar semula.

Masa untuk bermain air..Yeay!

Masa untuk bermain air..Yeay!

Lebih kurang jam 4.00 petang setelah Daddy mengecas tenaganya dengan menidurkan diri, Daddy terus mengajak Adra untuk ke Kolam Renang untuk bermain air. Adra apa lagi, terus sahaja menyalin pakaian. Mujur juga tersedia pelampung dalam kereta, tiadalah kejadian lemas dan sebagainya. Sejam berlalu dan Daddy segera memberikan isyarat agar bersedia untuk naik dari Kolam dan bersiap untuk keluar semula ronda-ronda Penang. Maka, dengan agak berat hati harus Adra patuhi waima hati ini masih belum puas bermain air..hihi.

Pasembur yang membukit

Pasembur yang membukit

Lokasi yang dituju kemudiannya setelah bersiap adalah Persiaran Gurney, yang sememangnya agak terkenal dikalangan pengunjung untuk menikmati juadah. Cuma perjalanan untuk ke sana walaupun hanya berkilometerkan 5 sahaja, tapi mengambil masa lebih 45minit. Yang MPPP ini pun bijak pandai juga, menjadikan Persiaran Gurney ini sebagai Laluan Sehala. Dia punya sesak jangan cakaplah. Kalau tak punya Iman yang kuat, janganlah cuba-cuba nak lalu di kawasan tersebut. (Tapi mesti kena lalu juga kalau nak menghala ke arah Tanjung Bungah & Batu Feringghi).

Apabila dah sampai ke Medan Selera Persiaran Gurney ini, sudah tentulah Pasembur yang menjadi taruhan terbaik untuk dijamah. Daddy & Tokwan lah yang paling teruja sebenarnya. Adra dan Tok cuma memesan Nasi Lemak sebagai juadah menjelang Maghrib itu. Adra yang kepenatan sebenarnya, sebaik sahaja masuk ke dalam kereta untuk pulang semula ke hotel terus lena tak sedar apa. Penat dicampur kenyang makan merupakan kombinasi terbaik untuk melelapkan mata dengan segera. Tahu-tahu sahaja dah siang keesokkan harinya.

Ok, jom layan gambar 🙂

Kenderan dari Siam turut berkongsi sebahgian kecil "kek" ekonomi di Padang besar

Kenderan dari Siam turut berkongsi sebahgian kecil “kek” ekonomi di Padang besar

Bersarapan Roti Canai..habis sekeping roti Adra makan

Bersarapan Roti Canai..habis sekeping roti Adra makan

Muka cuak juga sebenarnya

Muka cuak juga sebenarnya

Posing bersama Tokwan

Posing bersama Tokwan

Tenang melihatkan lautan

Tenang melihatkan lautan

Tok pun cuak juga barangkali..hihi

Tok pun cuak juga barangkali..hihi

Tiada kapsyen yang dapat digambarkan

Terik

Seronok bermain air

Seronok bermain air walaupun agak panas

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Trip Ke Utara – Hari Pertama

Cuaca panas di bumi Perlis

Ladang tebu katanya tapi tebunya entah ke mana

Bersempena dengan cuti Thaipusam tempohari, Adra telah berpeluang untuk mengikuti Daddy ke Utara Semenanjung, Padang Besar bersama Tok dan juga Tokwan. Mama kurang sihat dan telah dinasihatkan oleh doktor agar tidak membuat sebarang perjalanan jarak jauh. Jadinya, Mama memang tidak ikut serta dalam trip kali ini. Mula meninggalkan Kuala Lumpur seawal jam 4.00pagi, Daddy memandu dalam keadaan kelajuan yang sederhana. Perancangan untuk berhenti berehat menunaikan kewajipan adalah pada kadar yang sepatutnya. Tidak terlewat dan tidaklah pula terawal. Adra pula seperti biasa, duduk di barisan belakang tidur pada awal pagi bersama ditemani Tok.

Dah sampai Padang Besar..Yeay!!

Dah sampai Padang Besar..Yeay!!

Lebih kurang jam 11.30 pagi, akhirnya Adra berpeluang juga untuk menjejakkan kaki ke Padang Besar, Perlis. Dengar kata, Daddy juga pertama kali ke sini. Walaupun cuaca agak panas di Padang Besar, namun kelibat manusia yang berpusu tidak pernah putus. Yang peliknya, golongan seperti Tok antara yang teramai mengunjungi Padang Besar ini.

Murah tau patung Frozen ni

Murah tau patung Frozen ni

Sebaik sahaja selesai urusan memarkir kereta, terus sahaja kitaorang menuju ke gerai untuk menjamu selera memandangkan telah hampir masuk waktu makan tengahari. Gerai berhampiran Arked Niaga di Padang Besar ini boleh tahan menarik juga Adra perati. Namun, sebelum sempat menjamu selera, Adra telah berjaya memujuk Daddy untuk membeli patung Frozen..hihi. Barulah ada selera orang kata.

Penuh dengan pengunjung

Penuh dengan pengunjung

Acara membeli-belah terus sahaja berlangsung sebaik sahaja selesai makan tengahari. Teruja juga tengok pelbagai barangan dijual. Sempat jugalah Adra minta Daddy belikan sehelai jersi untuk dipakai. Cantik. Harga pun boleh tahan murah juga. Tok dan Tokwan juga tidak terkecuali. Biasanya level-level warga emas ini memang teruja kalau ke tempat sebegini. Lebih kurang jam 2.30 petang, Daddy mengajak kitaorang untuk Daftar Masuk terlebih dahulu ke Teratai Putih Restaurant & Resort, yang jaraknya lebih kurang 5 minit sahaja dari lokasi Arked Niaga ini. Sangat strategik. Cuma keadaannya tidaklah beberapa nak resort sangat. Agak usang sebenarnya di bahagian dalamnya. Cuma sekadar nak melelapkan mata semalaman jadilah kata Daddy.

Setelah berehat lebih kurang, pada sebelah petangnya sekali lagi kitaorang ke Arked Niaga untuk menyambung aktiviti membeli-belah. Adra ikutkan sahaja. Sambil-sambil cuci mata melihatkan telatah orang ramai yang masih lagi berpusu untuk memilih barangan yang dihajati. Sempat jugalah Adra belikan Pemanggang Ajaib buat Mama. Untung-untung boleh masak yang lebih sedap untuk Adra..hihi.

Balik sahaja dari Arked Niaga, kitaorang terus sahaja menuju ke restoran tempat penginapan, yang mana dengar kata boleh tahan sedap juga. Selesai sahaja urusan makan malam, kitaorang pun kembali ke bilik untuk berehat setelah penat seharian berjalan.

Ok, jom kita layan gambar pula 🙂

Memilih makanan ringan buatan negara jiran

Memilih makanan ringan buatan negara jiran

Menemani Tok untuk membuat pilihan hati

Menemani Tok untuk membuat pilihan hati

Lokasi penginapan kitaorang

Lokasi penginapan kitaorang

Untuk harga RM85 semalam, masih dianggap mahal jika dilihat ruangan dalamannya

Untuk harga RM85 semalam, masih dianggap mahal jika dilihat ruangan dalamannya

Hah, kan Adra dah kata

Hah, kan Adra dah kata

Tak sabar nak lihat patung Frozen

Tak sabar nak lihat patung Frozen

Mencuba pula jersi baru..hihi

Mencuba pula jersi baru..hihi

 

Bercuti Di Cyberview Resort & Spa

SAMSUNG

Hujung minggu sudah Adra telah diberikan kejutan oleh Daddy & Mama. Tanpa disangka (kerana Adra langsung tidak dimaklumkan terlebih dahulu) pada sangkaan awal hanyalah mahu ke Alamanda Putrajaya sahaja rupa-rupanya Adra telah pun dibawa untuk percutian ringkas ke Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya. Terkejut juga Adra dibuatnya. Rupa-rupanya percutian yang tidak dirancang dari awal ini dibuat dengan bertujuan untuk meredakan tekanan kerja yang cukup hebat dialami oleh Daddy sejak akhir-akhir ini.  Adra ok aja kalau dibawa bercuti. 🙂

Teruja betul Adra rasa

Teruja betul Adra rasa

Lebih kurang jam 2.30 petang kitaorang pun selamat sampai ke kawasan hotel setelah menghabiskan masa tengahari di Alamanda terlebih dahulu untuk makan tengahari. Melihatkan lobi utama pun dah cukup untuk membuatkan Adra berasa teruja. Cantik.  Urusan pendaftaran masuk berjalan dengan cukup pantas dan kitaorang terus sahaja dibenarkan terus masuk ke dalam bilik walaupun waktu yang dibenarkan adalah jam 3.00 petang.

Bulatan merah itulah bilik kitaorang

Bulatan merah itulah bilik kitaorang

Boleh tahan besar katilnya

Boleh tahan besar katilnya

Wah..besar juga bilik ni

Wah..besar juga bilik ni

TV pun besar juga

TV pun besar juga

Layan Pink Panther dulu

Layan Pink Panther dulu

Layan selfie dengan Daddy

Layan selfie dengan Daddy

Mujur juga bilik kitaorang yang berkonsepkan chalet itu terletak tidak berapa jauh daripada kawasan lobi utama. Bilik kitaorang terletak di tingkat atas dan mengadap jalan. Kira ok jugalah kan. Apabila melihatkan keadaan dalam bilik lagilah bertambah keterujaan Adra ini. Biliknya besar dan cantik. Daddy & Mama pun Adra lihat senyum aja tanda bersetuju dengan perasaan teruja Adra ini. Benda pertama yang wajib dicuba sudah tentulah tilamnya. Cukup empuk dan pasti lena tidur Adra nanti..hihi. Memandangkan masih awal dan cuaca agak panas, kitaorang hanya berehat dalam bilik sahaja terlebih dahulu sambil menonton kaca tv yang bersaiz meja itu. Besar bukan main lagi letak depan katil. Bila bosan, Adra layan kartun di YouTube kerana perkhidmatan jalur lebar yang dibekalkan tanpa had itu cukup laju. Lagi bertambah seronoklah Adra dibuatnya.

Isk lambat pula Daddy ni tau

Isk lambat pula Daddy ni tau

Yeay!!

Yeay!!

Mujur juga Daddy temankan Adra main air ni..baru seronok

Mujur juga Daddy temankan Adra main air ni..baru seronok

Mujur Adra sempat menyelit...hihi

Mujur Adra sempat menyelit…hihi

Usai masuk solat Asar dan menunaikan tanggungjawab kepada Yang Maha Esa, terus sahaja Daddy mengajak Adra untuk ke kolam mandi. Apa lagi, bertambah terujalah Adra dibuatnya. Agak lama juga Adra tidak bermesra dengan kolam mandi ini. Sampai sahaja di kolam mandi, Adra pun segera mengajak Daddy temankan untuk bermain air. Dia punya seronok Tuhan sahajalah yang tahu. Mujur juga ada Daddy menemani Adra kerana Mama terus sahaja ke Spa selepas itu untuk menenangkan diri. Ingatkan Daddy pun nak ke Spa juga, tapi rupanya tidak. Kata Daddy, dapat santai begini pun dah cukup tenang.

Boleh tahan luas juga bilik permainan ni

Boleh tahan luas juga bilik permainan ni

Sambung main blok pula

Sambung main blok pula

Adra bermain tidak lama. Lebih kuran sejam kemudian Daddy ajak Adra bersiap pula untuk ke tempat permaianan kanak-kanak yang turut terdapat disini. Mendengarkannya terus sahaja Adra setuju untuk meninggalkan kolam renang dan bersiap pula. Sampai sahaja di tempat ini, seronok jugalah dapat bermain kejap walaupun seorang diri. Maklumlah, kalau main sendiri biasanya memang kurang seronok sikit. Perasan bosan pun mula hadir sedikti demi sedikit hinggakan terus sahaja Adra mengajak Daddy untuk segera pulang semula ke bilik.

ZZzzzzzz....

ZZzzzzzz….

Letih pun iya juga sebenarnya. Jadi sebagai penutup kepada hari pertama ini Adra minta Daddy buatkan susu sambil baring mengadap siaran tv. Tahu-tahu sahaja petang itu Adra terlelap terus hinggakan pagi keesokkannya. Nyenyak juga Adra tidur tanpa ada sebarang gangguan berbentuk mistik. Barangkali ditambah lagi dengan keempukkan tilam yang berkualiti premium itu turut menambah kelenaan Adra sehingga ke siangnya.

————————–

Keesokkannya kitaorang bangun agak awal pagi juga untuk bersarapan di Verandah. Menu yang dihidangkan untuk kepada para penginap rasanya cukup untuk membuka selera. Pelbagai jenis makanan. Cuma menu Adra pagi itu memadai sedikit Nasi Lemak dan juga bijiran coklat sebagai pengalas perut. Hasrat dihati macam nak sambung bermain di Kolam Renang sebaik sahaja selesai urusan bersarapan. Tapi renyai dah mula membasahi perkarangan Cyberjaya. Walaupun sedikit hampa, tapi Adra ok sahaja sebenarnya. Lepak dalam bilik pun seronok juga waktu hujan mula turun dengan lebat. Dikala perut pun sudah mula kenyang,tiada aktiviti selain tidur yang cukup membahagiakan. Sedar-sedar Daddy mengejut Adra sekitar jam 11.30 pagi untuk bersiap Daftar Keluar pula. Akhirnya, ngam-ngam jam 12.00 tengahari kitaorang pun mula meninggalkan perkarangan hotel untuk pulang semula ke rumah. Walaupun percutian ini pendek dan dekat, tapi sesungguhnya kitaorang berasa seronok juga dapat menghabiskan masa berkualiti bersama tanpa memikirkan hal-hal yang tidak sepatutnya. Hal sekolah pun langsung tidak terlintas di fikiran Adra..hihi. Jomlah kita layan gambar-gambar di hari terakhir ini.

Nyam nyam..

Nyam nyam..

Depan pintu masuk Verandah

Depan pintu masuk Verandah

Sambung posing lagi

Sambung posing lagi

Bergambar depan Kolam Mandi

Bergambar depan Kolam Mandi

Sambung lena kejap sementara waktu hujan

Sambung lena kejap sementara waktu hujan

Baru nak reda sikit waktu nak pulang

Baru nak reda sikit waktu nak pulang

Tak seronoknya nak balik dah

Tak seronoknya nak balik dah